Friday, 24 May 2013



KURIKULUM


Definisi kurikulum serta matlamat dan objektif kurikulum berdasarkan penulisan Ishak Ramly (2003), kurikulum merangkumi semua pengalaman yang didapati di dalam dan luar sekolah dan perkara yang diajarkan di sekolah dan bilik darjah. Beliau turut mengelaskan kurikulum kepada tiga bahagian iaitu kurikulum sebagai program yang dirancang dan dilaksanakan di sekolah, kurikulum sebagai program yang dirancang dan dilaksanakan secara praktikal di dalam kelas. kurikulum adalah pengisian sepanjang hayat bagi membudayakan ilmu dan pengalaman individu ataupun berkumpulan.

Kurikulum berperanan sebagai garis panduan dan penentu sempadan ilmu yang hendak disampaikan mengikut peringkat yang tertentu. Kurikulum di sekolah perlu sentiasa relevan keperluan dan kehendak semasa. Pusat Perkembangan Kurikulum sentiasa merangka kurikulum pendidikan di Malaysia dari semasa ke semasa mengikut aliran tinggi. Kurikulum perlu diubahsuai mengikut keperluan supaya murid-murid sentiasa bergerak seiring dengan trend pengetahuan semasa.




 Kurikulum dan hubungkaitnya dengan Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani.

A Curriculum is a written document which may contain many ingredients, but basically it is a plan for the education of pupils during their enrolment in given school -
George A.Beauchamp (1986)

Berdasarkan kepada George A. Beauchamp, beliau mendefinisikan kurikulum sebagai dokumen bertulis di mana di dalamnya terkandung pelbagai bahan tetapi asasnya ia adalah satu rancangan untuk pendidikan murid-murid semasa mereka berada di sekolah.
Kurikulum yang di gubal mempunyai kepentingan tertentu yang berkait rapat dengan mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Kurikulum yang dibentuk dapat membantu melahirkan insan yang seimbang dari keupayaan psikomotor, afektif dan kognitif. Aspek pembangunan insane merupakan keperluan Negara dalam proses pembentukan modal insan berkualiti.

Pendidikan di Malaysia telah melalui fasa perubahan kurikulum seiring dengan zaman bagi memastikan kurikulum yang sentiasa relevan bagi melahirkan modal insan yang seimbang yang dapat menangani cabaran semasa dan masa depan. Antara kurikulum tersebut adalah Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan yang terbaru Kurikulum Standad Sekolah Rendah.

KURIKULUM BERSEPADU SEKOLAH RENDAH ( KBSR )


MATLAMAT PENDIDIKAN PERSEKOLAHAN
Matlamat Pendidikan Persekolahan adalah untuk memastikan perkembangan potensi pelajar secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu dan meliputi aspek-aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi malahirkan insane yang seimbang harmonis dan berakhlak mulia.

Matlamat KBSR
Matlamat pendidikan sekolah rendah adalah untuk memastikan perkembangan potensi murid secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu. Perkembangan ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi melahirkan insan yang seimbang, harmonis dan berakhlak mulia.

Matlamat KBSR
Matlamat pendidikan sekolah rendah adalah untuk memastikan perkembangan potensi murid secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu. Perkembangan ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi melahirkan insan yang seimbang, harmonis dan berakhlak mulia.

KURIKULUM BERSEPADU PENDIDIKAN JASMANI SEKOLAH RENDAH

MATLAMAT:

Pendidikan Jasmani bertujuan membantu murid menjadi cergas melalui pembelajaran aktiviti fizikal dan amalan kecergasan.

OBJEKTIF:

Murid boleh :


  • Mempertingkatkan dan mengekalkan kecergasan berasaskan kesihatan dan perlakuan motor;
  • menguasai kemahiran asas pergerakan dan permainan mengikut kemampuan diri,
  • melakukan senaman dan aktiviti fizikal sebagai rutin harian,
  • mengaplikasikan pengetahuan kesihatan dan keselamatan semasa menyertai pelbagai kegiatan fizikal;
  • membentuk sahsiah dan disiplin diri; dan
  • membuat keputusan bijak dalam kehidupan.

Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani di dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah disusun mengikut tiga tunjang utama iaitu :


  • Kecergasan
-Konsep tunjang ini menitikberatkan keupayaan murid melakukan aktiviti fizikal secara berterusan tanpa merasa lesu. Tumpuan diberi kepada komponen kecergasan fizikal berasaskan kesihatan dan perlakuan motor.



  • Kemahiran

Konsep tunjang ini menitikberatkan keupayaan murid melakukan kemahiran daripada aspek pergerakan otot besar dan otot halus.Tumpuan diberi kepada kemahiran asas dalam permainan, olahraga, gimnastik, pergerakan kreatif dan rekreasi.


  • Kesukanan

Konsep tunjang ini menitikberatkan kefahaman dan pengetahuan bagi mengukuhkan
amalan pendidikan jasmani dan sukan. Tumpuan diberi kepada aspek keselamatan, pengurusan, kerjaya, etika dan isu-isu dalam pendidikan jasmani dan sukan.

ORGANISASI KANDUNGAN KURIKULUM

Kandungan mata pelajaran ini menekankan kepada kecergasan sesuai dengan ciri dan keperluan murid. Pendekatan yang dicadangkan bagi mata pelajaran ini ialah pembelajaran melalui aktiviti. Murid perlu diberi peluang mempelajari pengetahuan, kemahiran dan nilai berkaitan mata pelajaran dengan melakukan aktiviti, eksperimen dan amalan rutin. Penyertaan aktif setiap murid dalam kelas Pendidikan Jasmani adalah diwajibkan. Murid perlu diberi peluang untuk meluahkan emosi, memperkembangkan proses mental, membentuk perhubungan yang sihat dan melakukan kegiatan fizikal dalam suasana yang membina dan selamat. Pengalaman Pendidikan Jasmani merangkumi tiga aspek penting, iaitu :


  • Penglibatan murid secara aktif dan selamat.
  • Interaksi yang kreatif dengan bahan, alat dan rakan.
  •   Penyimpanan rekod kegiatan murid sebagai bukti bahawa pembelajaran telah berlaku.

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)

Bermula tahun 2011, semua sekolah akan menggunakan satu kurikulum baru yang dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kurikulum ini akan dijalankan secara berperingkat di seluruh Malaysia bermula tahun 1 2011. Kurikulum ini selaras dengan perkembangan dan permintaan semasa yang menuntut modal insan yang lebih berkualiti sejajar dengan zaman yang serba maju dan canggih kini.

Transformasi Kurikulum

Proses melakukan satu bentuk perubahan yang holistik kepada kurikulum persekolahan
sedia ada yang melibatkan perubahan bentuk, organisasi, kandungan, pedagogi, peruntukan masa, kaedah pentaksiran, bahan dan pengurusan kurikulum di sekolah.


    KONSEP KURIKULUM TRANSFORMASI SEKOLAH RENDAH


  • Berteraskan Falsafah Pendidikan Negara (FPN)
  • Berasaskan Prinsip KBSR:
  • Pendekatan bersepadu
  • Perkembangan individu secara menyeluruh
  • Peluang dan kualiti pendidikan yang sama untuk semua murid
  • Pendidikan seumur hidup


KURIKULUM STANDARD PENDIDIKAN JASMANI SEKOLAH RENDAH

Kurikulum Standard Pendidikan Jasmani dibentuk berdasarkan standard kandungan dan standard pembelajaran yang perlu murid kuasai dan capai. Standard kandungan ialah pernyataan yang jelas tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan yang merangkumi kemahiran, pengetahuan dan nilai. Standard pembelajaran pula merupakan penetapan kriteria atau pengukur pencapaian setiap standard kandungan.

            Kurikulum Standard Pendidikan Jasmani sendiri masih lagi mengandungi prinsip-prinsip yang terdapat di dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) Pendidikan Jasmani dan turut menggunakan Standard Antarabangsa Pendidikan Jasmani dan Sukan Untuk Murid Sekolah oleh International Council for Health, Physical Education, Recreational-Sports And Dance (ICHPER-SD) sebagai panduan. Kandungan kurikulum baru ini masih mengekalkan tiga domain utama pendidikan iaitu psikomotor, kognitif dan afektif yang sangat penting dalam mendidik dan memimpin generasi akan datang.

Penggubalan Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Jasmani bertujuan utama untuk memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani, dan jasmani. Kurikulum ini turut mampu menyediakan murid ke arah pembinaan modal insan yang sihat dan cergas.

Bukan hanya murid yang perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang dikehendaki dalam KSSR Pendidikan Jasmani, malahan guru yang mengajar Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Jasmani Tahun Satu perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran asas seperti yang terkandung di dalam kemahiran pergerakan dan kecergasan berdasarkan disiplin ilmu Pendidikan Jasmani. Antaranya melibatkan pembelajaran motor, perkembangan motor, biomekanik, suaian fizikal, fisiologi senam, psikologi sukan, sosiologi sukan, estetika dan nilai. Pengajaran dan pembelajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Jasmani seharusnya dilaksanakan dalam suasana yang menyeronokkan dan kondusif dengan menekankan aspek keselamatan.

MATLAMAT

Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Jasmani bertujuan membina murid menjadi individu yang cergas dan sihat serta berkemahiran, berpengetahuan dan mengamalkan nilai murni melalui aktiviti fizikal ke arah mencapai kesejahteraan hidup.

OBJEKTIF

Mengikut dokumen Sukatan KSSR Pendidikan Jasmani Tahun 1,murid yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Jasmani berkebolehan untuk;-


  • Melakukan kemahiran asas dengan lakuan yang betul mengikut konsep pergerakan.
  • Mengembangkan kebolehan dalam pergerakan dan kemahiran motor.
  • Mengenal pasti kedudukan anggota badan yang betul semasa melakukan pergerakan.
  • Mengenal pasti aktiviti meningkatkan tahap kecergasan.
  • Mengetahui kepentingan melakukan aktiviti fizikal secara berkala.
  • Mempamerkan tanggungjawab kendiri semasa melakukan aktiviti fizikal.
  • Melaksanakan aktiviti fizikal dalam suasana yang seronok dan persekitaran yang selamat.
  • Mematuhi peraturan dan mengamalkan langkah keselamatan semasa melakukan aktiviti fizikal.
  • Mengamalkan gaya hidup sihat untuk kesejahteraan.

FOKUS MATAPELAJARAN

Terdapat tiga fokus Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Jasmani bagi murid Tahun Satu iaitu membina kemahiran asas pergerakan dan kemahiran motor, memperkenalkan konsep kecergasan berdasarkan kesihatan, dan memupuk elemen keselamatan, tanggungjawab kendiri, dan interaksi sosial semasa melakukan aktiviti fizikal.

ORGANISASI KANDUNGAN

Kurikulum KSSR Pendidikan Jasmani diorganisasikan secara modular. Di dalam kurikulum modular, kandungan dikumpulkan kepada bahagian-bahagian yang dinamakan sebagai modul. Modul merangkumi kandungan pembelajaran dalam bentuk unit kendiri-lengkap (self-contained) yang terdiri daripada pengetahuan, kemahiran dan nilai yang telah dikenal pasti untuk dikuasai dan dicapai.

Kurikulum Pendidikan Jasmani Tahun Satu dibina berasaskan lima aspek iaitu :

Aspek 1 : Kemahiran Pergerakan.

Murid menguasai pelbagai corak pergerakan dan kemahiran motor yang diperlukan untuk melakukan pelbagai aktiviti fizikal melalui konsep pergerakan, pergerkan asas yang melibatkan pergerakan lokomoto, bukan lokomotor,manupulasi alatan dan pergerakan berirama. Yang lainnya melibatkan sukan yang perlu diberi perhatian iaitu gimnastik asas dan akuatik asas. Akhir sekali, aktiviti rekreasi dan kesenggangan.

Aspek 2 : Aplikasi Pengetahuan Dalam Pergerakan

Melalui Aspek 2, murid dapat mengaplikasi pengetahuan mengenai konsep, prinsip dan strategi pergerakan dalam pembelajaran serta mengembangkan kemahiran motor dalam melaksanakan aktiviti fizikal.

Aspek 3: Kecergasan Meningkatkan Kesihatan

Murid berkeupayaan meningkatkan dan mengekalkan tahap kecergasan untuk kesihatan dan prestasi fizikal melalui konsep kecergasan dan komponen kecergasan berasaskan kesihatan iaitu kapasiti aerobic,kelenturan, kekuatan dan daya tahan otot, dan komposisi badan.

Aspek 4: Aplikasi Pengetahuan Dalam Meningkatkan Kecergasan

Mengaplikasikan pengetahuan mengenai konsep, prinsip dan strategi meningkatkan kecergasan untuk kesihatan dan prestasi fizikal.

Aspek 5: Kesukanan

Melalui Aspek 5, murid berkeupayaan mengukuhkan amalan Pendidikan Jasmani menerusi elemen keselamatan, konsep sosiologi dan psikologi, prinsip dan strategi dalam melakukan aktiviti fizikal dengan berkesan yang melibatkan :


  • keselamatan dan pengurusan,
  • tanggungjawab kendiri,
  • interaksi sosial, dan
  • kumpulan dinamik.



KAEDAH PENGAJARAN KBSR DAN KSSR


KURIKULUM BERSEPADU SEKOLAH RENDAH (KBSR)

Kaedah yang boleh digunakan oleh guru untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani ialah kaedah langsung. Kaedah  ini mementingkan guru. Seseorang guru membuat semua atau kebanyakan daripada keputusan tentang apa, bagaimana dan bila sesuatu aktiviti itu bermula berdasarkan kehendak objektif. Kaedah ini berdasarkan arahan dan tugasan yang diberikan oleh guru. Kaedah ini berdasarkan Teori Pembelajaran Tingkah Laku (Behavioristic) yang menerangkan bahawa pembelajaran itu berlaku dari luar ke dalam melalui pembentukan semula peristiwa-peristiwa yang betul (Gallahue, 1993). Guru dianggap mengetahui bagaimana kemahiran pergerakan dilakukan dengan cara yang betul. 

Contohnya, dalam satu kelas pengajaran dan pembelajaran (p&p) pendidikan jasmani dilakukan. Guru mengajar tunjang kemahiran iaitu kemahiran lokomotor yang bertajuk pergerakan asas. Guru akan mengajar murid-murid untuk melakukan satu rangkaian aktiviti lokomotor yang mempunyai sekurang-kurangnya 3 hingga 4 aktiviti pergerakan secara individu sehingga mahir secara individu dan berkumpulan. Untuk itu, murid-murid akan membuat latihan untuk menguasai kemahiran tersebut sehingga mereka mahir. Setelah mereka menguasai kemahiran tersebut, guru  akan meminta murid-murid  untuk mereka serta menunjuk cara rangkaian pergerakan dalam aktivit pergerakan lokomotor.Guru juga akan menerangkan secara lisan sebab tangan perlu dihayunkan dan sebagainya. Selain itu, murid juga akan diminta untuk melakar dan melabelkan anggota badan yang terlibat semasa melakukan aktivit pergerakan lokomotor.


Kelebihan kaedah ini adalah kaedah ini sangat berkesan, berfokus kepada yang ingin dipelajari, tidak banyak peluang untuk salah faham dan salah interpretasi, dan persekitaran pembelajaran yang berstruktur.

Namun begitu, kelemahan kaedah ini adalah ia tidak ambil kira perbezaan individu (kesesuaian perkembangan), anggap pelajar mencapai tahap pembelajaran dan kemajuan yang sama (kesesuaian umur kumpulan). Kaedah ini juga lebih mementingkan matlamat atau hasil pengalaman pembelajaran daripada proses pembelajaran itu.

KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH (KSSR)

 Kaedah yang boleh digunakan oleh guru untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani ialah kaedah tidak langsung. Kaedah  ini berpusatkan pelajar. Ia berasaskan falsafah bahawa pembelajaran adalah lebih daripada mengulang dan meniru perlakuan yang betul. Pembelajaran seharusnya juga melalui percubaan, penyelesaian masalah dan penemuan diri. Ia berdasarkan Teori Pembelajaran Kognitif yang mengangapkan pembelajaran sebagai satu proses yang berlaku dari dalam ke luar dan proses pembelajaran itu adalag sama penting dangan hasil pembelajaran berkenaan. 

Dalam KSSR, kemahiran lokomotor seperti berjalan, berlari, melompat, lokotor berirama dan  sebagainya diajar secara berasingan dalam setiap unit tajuk. Murid-murid akan mempelajari setiap pergerakan dengan lebih jelas dan terperinci dan mengaplikasikan pengetahuan dan pengalamannya dalam melakukan setiap aktiviti yang dijalankan oleh gurunya. Contohnya dalam satu p&p kemahiran berlari yang berfokuskan kepada kebolehan murid-murid untuk melakukan kemahiran berlari dengan betul. Guru akan memberikan suatu aktiviti kepada mereka,contohnya berlari bebas, berlari dengan pelbagai cara dan  berlari pelbagai arah. Murid-murid akan cuba meneroka setiap aktiviti yang mereka lakukan dengan idea dan  kreativiti mereka sendiri. Ini dapat mengalakkan murid-murid berfikir secara kritis jalan menyelesaikan masalah dalam suasana yang menyeronokkan semasa melakukan kemahiran yang baru mereka pelajari. Secara tidak langsung, murid-murid akan dapat mengenal pasti arah pergerakan kiri, kanan, hadapan, belakang, atas dan bawah. Pada akhir sesi p&p, guru akan membuat semakan terhadap penguasaan  kemahiran murid-murid secara terperinci untuk kegunaan semakan pada masa hadapan.

Kelebihan kaedah tidak langsung  ini ialah membolehkan pelajar menetapkan matlamat dengan cara mencapainya, memberi kebebasan kepada pelajar dan memberi peluang kepada mereka untuk bertanggungjawab, mengambil kira perbezaan di kalangan pelajar dan memberi peluang kepada pelajar merasai kejayaan pada tahap kebolehan sendiri.

Kelemahan kaedah ini pula ialah memakan masa yang panjang kerana lebih masa untuk cuba-jaya dan bersoal-jawab dan memerlukan guru-guru untuk berlatih dan bersabar. Guru yang tidak biasa dengan gaya ini sentiasa menghadapi masalah untuk menggunakannya secara berkesan.selain itu, sukar untuk mengawal kelas dan sukar untuk memastikan kesinambungan dalam pelajaran.



PENGENALAN TEORI EKOLOGI

Teori ekologi telah diperkembangkan oleh Urie Bronfenbrenner (1917). Teori perkembangan ekologikal adalah teori yang menekankan pengaruh persekitaran ke atas perkembangan individu. Teori Ekologi Bronfenbrenner (1979,1989) menjelaskan bahawa perkembangan kanak-kanak adalah sebagai hasil interaksi antara alam persekitaran dengan kanak-kanak tersebut. Dalam konteks ini, interaksi antara kanak-kanak dengan persekitaran kanak-kanak itu dipercayai boleh mempengaruhi proses pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Merujuk kepada konsep di dalam teori ini, sama ada kita menyedarinya atau tidak kanak-kanak yang merupakan individu yang berada dalam ruang lingkup mikro (berpusat di tengah) boleh dipengaruhi oleh faktor persekitaran.

Dalam teori ini menyatakan bahawa proses perkembangan dan pertumbuhan yang terangkum dalam sistem persekitaran itu mementingkan interaksi antara satu sama lain. Menurut Bronfenbrenner terdapat 5 sistem yang mempengaruhi perkembangan kanak-kanak.

SISTEM PERSEKITARAN TEORI EKOLOGI BRONFENBRENNER

Menurut Bronfenbrenner, persekitaran perkembangan individu terdiri daripada lima sistem, iaitu :

a) Mikrosistem
Mikrosistem melibatkan persekitaran yang terdekat di mana kanak-kanak mempunyai interaksi secara dan menghabiskan paling banyak masa. Contohnya interaksi kanak-kanak di dalam keluarga iaitu dengan ibu bapa dan adik beradik. Interaksi antara rakan, jiran serta guru terlibat dalam proses perkembangan kanak-kanak.

Keluarga terutamanya ibu bapa merupakan agen sosialisasi paling penting dalam kehidupan seseorang kanak-kanak itu dan sebagai individu terdekat atau berhampiran dengan kehidupan seorang kanak-kanak, mereka mempunyai pengaruh besar ke atas tingkah laku kanak-kanak. Sebagai contoh, kajian di dalam dan di luar negara menunjukkan bahawa faktor persekitaran seperti penglibatan ibu bapa secara aktif mempunyai kesan langsung ke atas semua aspek perkembangan kanak-kanak (Mac Naughtori, 2005).

Seorang ahli antropologi, George Peter Murdock menakrifkan bahawa keluarga adalah satu kelompok sosial yang tinggal di bawah satu bumbung, mempunyai kerjasama dalam kegiatan ekonomi dan menambah zuriat (Goode, hal. 326). Faktor kepincangan keluarga dan taraf sosio-ekonomi sesebuah keluarga akan mencorak kehidupan seorang kanak-kanak. Kegagalan ibu bapa sendiri untuk membetulkan kepincangan anak-anak mereka akan menyebabkan anak-anak ini tidak lagi menghormati mereka.
<!--[if !supportLineBreakNewLine]-->
<!--[endif]-->
Dalam kajian yang Iain pula, Ting (2005) mendapati tahap penglibatan ibu bapa luar bandar berada pada tahap yang rendah. Tidak hairan jika sebelum ini Berger (1995) melalui kajiannya menyatakan wujudnya kepelbagaian model peranan ibu bapa untuk membantu proses pembelajaran kanak-kanak di sekolah.

b) Mesosistem

Mesosistem merupakan perhubungan antara mikrosistem dengan mikrosistem yang lain. Sebarang perkara yang berlaku dalam satu mikrosistem dapat mempengaruhi interaksi dengan mikrosistem yang lain. Sebagai contoh, keadaan di rumah dapat mempengaruhi tingkah laku dan personaliti seseorang individu ketika berada di sekolah. Individu yang mempunyai masalah di rumah akan membawa masalah tersebut ke sekolah. Hal ini akan menyebabkan emosi mereka terganggu dan implikasinya ialah masalah tersebut akan menjejaskan pelajaran mereka.
c) Eksosistem

Eksosistem merupakan pengalaman dengan persekitaran yang tidak melibatkan murid secara langsung tetapi keputusan yang diambil dalam persekitaran tersebut memberi kesan kepada kanak-kanak atau orang dewasa yang terlibat dengan kanak-kanak tersebut. Maksudnya di sini, pengalaman individu tersebut akan turut mempengaruhi orang lain. Sebagai contoh, persekitaran sekolah –pasar raya. Keadaan pengurusan, kemudahan dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan di tempat-tempat membeli belah secara tidak langsung akan mempengaruhi perkembangan sosial kanak-kanak tersebut.

d) Makrosistem

Makrosistem pula melibatkan perkembangan individu yang dipangaruhi oleh norma-norma, nilai dan amalan masyarakat. Misalnya dalam sesetengah masyarakat, peranan jantina amat dititikberatkan (Santrock, 2008). Di sesetengah negara pula, kaum lelaki diberi peranan dan tanggungjawab yang lebih dominan di mana mereka diberi peluang pelajaran dan pekerjaan-pekerjaan yang penting berbanding kaum perempuan. Hal ini kerana perempuan dianggap sebagai kaum yang lemah dan tidak layak mendapat pendidikan yang setaraf dengan kaum lelaki. Bagi ibu bapa yang masih lagi berada dalam pemikiran konservatif, mereka mengganggap pendidikan tidak penting kepada anak perempuan kerana tugas wanita hanyalah di dapur sahaja.
e) Kronosistem

Kronosistem merupakan perubahan keadaan dalam suatu tempoh masa. Misalnya, kanak-kanak pada dewasa ini lebih berfokus kepada permainan berteknologi selaras dengan arus perubahan serta pembangunan sesebuah negara seperti permainan internet, memuat turun maklumat melalui internet dan sebagainya.


TEORI EKOLOGI DALAM KURIKULUM BERSEPADU SEKOLAH RENDAH (KBSR)


Teori Ekologi didefinisikan dengan manusia merupakan satu paradigma untuk menjelaskan pergerakan manusia di mana individu itu berinteraksi dengan persekitaran. Dari segi huraiannya, mereka juga melibatkan pendekatan sistem dinamik di mana individu berkenaan, melalui pergerakan, berinteraksi dengan persekitaran.

Setiap interaksi individu terbabit berkait dengan persekitarannya. Ia hasil daripada gabungan pendekatan sistem dinamik dan persepsi individu dan menjadikannya berpusatkan pelajar. Individu tersebut mencari persekitarannya secara proaktif lalu membentuk konsep – konsep untuk meningkatkan pembelajaran kemahiran motor. Selain itu ia juga membantu dalam mengenalpasti apa yang menghalang pembelajaran kemahiran motor.

Dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dalam pendidikan jasmani, murid perlu diberi peluang mempelajari pengetahuan,kemahiran dan nilai berkaitan matapelajaran dengan melakukan aktiviti, eksperimen dan amalan rutin. Penyertaan aktif setiap murid dalam kelas Pendidikan Jasmani adalah diwajibkan. Murid perlu diberi peluang untuk meluahkan emosi, memperkembangkan proses mental, membentuk perhubungan yang sihat dan melakukan kegiatan fizikal dalam suasana yang membina dan selamat. pendekatan yang digunakan adalah menjadikan guru sebagai “Role Model” atau sebagai contoh kepada setiap murid. Dalam setiap perlakuan guru, murid – murid akan mengikuti segala perlakuan yang diajar oleh guru.

Selain itu, murid dapat menguasai kemahiran berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif. Mata pelajaran ini memberi peluang kepada murid mengambil bahagian secara aktif, memperoleh pengetahuan dan kemahiran praktikal. Kemahiran berfikir yang terdapat dalam mata pelajaran ini termasuk membuat kategori, menerangkan sebab, mengusul periksa andaian, membuat ramalan, mencipta metafora dan mencipta definisi. Mata pelajaran ini juga mendidik murid membuat keputusan yang bijak dan menyelesaikan masalah.

Berdasarkan teori ekologi yang dipelajari, persekitaran yang dimaksudkan ialah dengan apa dan siapa murid belajar dan bagaimana hasil itu dapat dicapai. Contohnya ialah guru. Guru merupakan salah satu persekitaran dalam pembelajaran ini. Sebagai contoh, dalam mengajar teknik larian pecut, guru akan menunjukkan demontrasi kepada murid – murid bagaimana teknik larian ini diaplikasikan dengan pergerakan kaki dan juga tangan. Kemudian murid – murid akan mencontohi apa yang telah diajar oleh guru tersebut dan cuba mengaplikasikan dan mengadaptasikannya dalam situasi yang sebenar. Pengajaran ini memerlukan kebolehan murid dalam berfikir dan kecekapan murid dalam mengingati setiap pembelajaran yang diajar oleh guru. 

Dalam kurikulum ini guru adalah sebagai pelopor atau pengajar utama yang akan mengajar dan menjadi model untuk  menunjukkan cara yang betul.Ini  juga berkait rapat dengan pengukuhan tindak balas yang diberikan oleh guru terhadap murid dalam melakukan sesuatu pergerakan. Tindakan yang dikukuhkan menjadi kuat. Contohnya, semasa melakukan aktiviti  kemahiran lokomotor iaitu berlari. Guru akan memberi komen terhadap cara larian yang betul, murid yang akan cuba membaiki cara pergerakan dan lariannya sesuai dengan kehendak gurunya agar objektif pembelajaran tercapai. Guru memainkan peranan penting dalam pembelajaran motor kerana setiap kemahiran yang akan dipelajari oleh murid bergantung kepada bagaimana guru tersebut melaksanakan sesuatu aktiviti agar berjaya mencapai matlamat kemahiran yang dikehendaki dengan berkesan. Murid pula akan interpertasi arahan guru dan berinteraksi dengan mendengar  arahan guru dengan betul agar apa yang dipelajari dapat diterima dan difahami dengan jelas.

Antara lain ialah buku teks. Buku teks juga merupakan salah satu persekitaran lain bagi menggantikan guru. Tanpa pengajaran dari guru, sedikit susah bagi murid untuk meniru gaya dan teknik yang diajar oleh guru. Secara praktikalnya, murid dikehendaki mengolah atau mempraktikknya sendiri dan hasilnya akan dilihat oleh guru samada hasil pembelajaran yang ditunjukkan oleh murid betul atau tidak. Seterusnya setiap contoh yang dilakukan diterangkan oleh guru supaya murid dapat memahami sebab dan akibat daripada setiap pengajaran yang dilakukan. Dengan itu, murid dapat membezakan dan cuba menggunakan apa yang terbaik dalam pengajaran tersebut agar mendapat hasil yang diinginkan.

Interaksi individu dengan kawan berlaku semasa melakukan aktiviti secara berkumpulan.  Pelajar akan bekerjasama, berbicang dan saling bertukar pendapat mengenai kefahaman mereka dalam melakukan sesuatu pergerakan yang dikehendaki mengikut arahan aktiviti yang diberikan oleh guru. Ini secara tidak langsung, dapat meningkatkan pembelajaran kemahiran motor  individu dengan lebih cekap dan berkualiti hasil daripada perbincangan sesama mereka. Contohnya, pelajar yang lemah dalam melakukan kemahiran melompat misalnya akan meminta pendapat dan tunjuk ajar daripada pelajar yang mahir sebagai model untuk meningkatkan kefahaman dan menunjukkan perlakuan pergerakan yang betul. Melalui interaksi sebegini, kedua-dua pelajar dapat manfaat secara tidak langsung. Pelajar yang lemah akan berjaya membaiki dan meningkatkan kemahirannya melakukan kemahiran melompat, manakala pelajar yang mahir akan dapat meningkatkan  keyakinan dan prestasinya dalam melakukan kemahiran melompat.

Cara  interaksi individu terhadap aktiviti juga dapat menerangkan persepsi individu terhadap situasi persekitaran. Pembelajaran motor adalah hasil daripada usaha individu untuk menganalisis situasi, melihat serta memahami pertalian dan menyelesaikan masalah. Aktiviti yang dilakukan hendaklah menyeronokkan dan dapat merangsang pemikiran mereka di samping dapat menarik perhatian mereka. Contohnya, dalam satu kelas pendidikan jasmani. guru yang  mengajar kemahiran lokomotor iaitu kemahiran berjalan misalnya akan melakukan satu aktiviti berjalan secara individu atau berkumpulan dengan meminta mereka berjalan meniru gaya binatang, seperti arnab dan ulat. Interaksi dengan aktiviti ini secara tidak langsung dapat meningkatkan  pembelajaran motor murid dan pengetahuan serta kepekaaan mereka terhadap alam sekeliling mereka dengan mengalakkan mereka menguasai sesuatu pergerakan hasil daripada aktiviti yang telah mereka lakukan.



TEORI EKOLOGI DALAM KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH (KSSR)


Manusia merupakan satu paradigm untuk menjelaskan pergerakan manusia di mana individu itu berinteraksi dengan persekitaran.

Penyokong-penyokong teori ini adalah Turvey dan Carello (Kluka, 1999). Teori ini turut digabungkan dengan hasil dapatan Gibson dan Bernstein (Kluka, 1999). Mereka turut melibatkan pendekatan system dinamik di mana satu proses di mana individu berkenaan, melalui pergerakan, berinteraksi dengan persekitaran.

Mengikut Teori Ekologi tersebut. Pergerakan yang dihasilkan oleh para pelajar adalah hasil interaksi pelajar kepada pelbagai aspek. Maka, terhasil satu pergerakan ataupun maklumat yang diingini. KSSR pula digubal khusus untuk memenuhi keperluan kaedah  penerokaan dan penemuan oleh para pelajar.

Daripada KSSR, aktiviti yang direka dan dicadangkan untuk dilakukan kepada pelajar adalah khusus untuk menjana minda dan pemikiran pelajar secara menyeluruh.  Contoh aktiviti yang direka untuk tajuk Kesedaran Ruang di dalam Pendidikan Jasmani KSSR Tahun 1 ialah pelajar harus menggunakan imaginasi untuk membentuk diri menjadi sesuatu. 

Contoh salah satu arahan iaitu meluruskan badan seperti gajah. Setelah guru member arahan tersebut, para pelajar harus terokai apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan lurus seperti gajah. Bentuk badan yang dihasilkan adalah penemuan hasil daripada penerokaan yang dibuat oleh para pelajar. Disebabkan itulah kaedah yang digunakan untuk proses pembelajaran sangat penting bagi menjana pemikiran pelajar. Seiring dengan kemajuan teknologi yang terhasil pada masa kini, minda dan pemikiran pelajar telah terisi dengan maklumat yang dipengaruhi oleh persekitaran. Di sekolah, aktiviti yang di jalankan bukan hanya bertujuan untuk memperkenalkan sesuatu konsep tetapi juga mengayakan pemikiran mereka.

Persekitaran merangkumi segala yang terdapat di dalam kawasan semasa proses pembelajaran berlaku.Guru juga turut menjadi persekitaran murid di dalam menempuhi proses pembelajaran. Di dalam KSSR, guru hanyalah seorang pembimbing di dalam sesuatu  proses pembelajaran. Sebarang kemusykilan, pelajar boleh bertanya kepada guru. Namun, seorang pelajar hanya menggunakan minda dan pemikiran mereka. Guru yang merupakan satu bahagian daripada persekitaran pelajar semasa mengharungi proses pembelajaran. Jadi, interaksi pelajar dengan guru sama seperti murid telah berinteraksi dengan persekitaran. Jadi, ia menepati prinsip ekologi di mana proses pembelajaran berlaku kerana hadirnya proses interaksi pelajar dengan persekitaran.

Aspek persekitaran yang merangkumi individu itu sendiri. Para pelajar itu sendiri yang merupakan orang yang menjadi salah satu daripada persekitaran tersebut. Individu harus cuba untuk menyesuaikan diri dengan persekitarannya untuk melahirkan suatu proses pembelajaran yang diingini oleh setiap individu. Individu itulah yang akan menggunakan minda dan pemikiran mereka untuk menjalankan proses pembelajaran melalui kaedah penerokaan dan penemuan. 

Kesedaran kendiri turut memainkan peranan yang sangat penting di dalam proses menyesuaikan diri dengan persekitaran. Boleh dikatakan bahawa proses pembelajaran yang berlaku adalah salah satu daripada proses individu berinteraksi dengan persekitaran dengan cara menyesuaikan diri mereka dengan persekitaran mereka. Kesedaran kendiri juga sangat penting dalam di dalam satu proses penyesuaian kepada persekitaran. Contohnya, seorang pelajar harus tahu peringkat kemampuan diri sendiri. Malalui proses pembelajaran dan juga kaedah penerokaan dan penemuan mereka mampu untuk memastikan tahap atau peringkat kemampuan diri mereka. Contoh di yang dapat dilihat di dalam aktiviti Membentuk badan ialah mereka tahu mereka tidak mampu untuk membentuk huruf-huruf seperti M secara individu.

Menurut teori ekologi persepsi dan pergerakkkan manusia merupakan satu paradigm untuk menjelaskan pergerakkan manusia di mana individu itu berinteraksi dengan persekitaran. Teori-teori ini turut di sokong oleh Turvey dan carello (Kluka 1999). Di dalam perlaksanaan kurikulum standard sekolah rendah ini telah di beri beberapa elemen yang memberi nafas baru kepada kurikulum pendidikan Malaysia dimana beberapa elemen baru ditambah seperti penggunaan kemahiran asas teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) selain itu elemen kreativiti dan inovasi, keusahawanan serta teknologi Maklumat dan komunikasi (ICT) secara explicit juga diterapkan dengan lebih memberi fokus kepada 4M iaitu Membaca, menulis, mengira dan satu elemen baru iaitu menaakul.        Menurut teori ini lagi setiap interaksi individu terbabit berkait dengan persekitarannya. Ia hasil daripada gabungan pendekatan sistem dinamik dan persepsi individu dan menjadikannya berpusatkan pelajar. Individu tersebut mencari persekitarannya secara proaktif lalu membentuk konsep – konsep untuk meningkatkan pembelajaran kemahiran motor.

Selain itu ia juga membantu dalam mengenalpasti apa yang menghalang pembelajaran kemahiran motor. Contohnya di  dalam sukatan kssr tahun 1 dibawah aspek kemahiran pergerakkan, pergerakkan berirama mengkehendaki murid-murid untuk melakukan pelbagai kemahiran pergerakkan mengikut irama. Oleh demikian alat yang digunakan iaitu radio dan bahan audio visual lain merupakan persekitaran bagi murid-murid tersebut.  Menerusi aktiviti seperti  meniru pergerakan pelbagai watak mengikut irama dan muzik dapat membantu meningkatkan kemahiran pembelajarn motor kanak-kanak tersebut, ini bertepatan dengan apa yang telah di kemukakan oleh Turvey dan Carello (Kluka 1999) mereka melibatkan pendekatan system dinamik dimana individu berkenaan melalui pergerakkan, interaksi dengan persekitaran.

Disamping itu juga, penggunaan kemahiran asas teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) merupakan satu persekitaran yang dapat member impak yang positif terhadap peningkatan pembelajaran motor. Perlaksanaan penggunaan kemahiran asas teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dilakukan secara berperingkat-peringkat. menerusi penggunaan ICT ini murid murid lebih mudah untuk memahami asas-asas pergerakkan seperti melihat video-video pergerakkan yang telah disediakan.tambahan pula, penggunaan audio visual yang menarik seperti bunyi yang jelas serta gambar-gambar yang menarik dapat menarik minat kanak-kanak. Selain itu, murid-murid juga akan termotivasi secara tidak langsung. Seterusnya dapat menarik minat kanak-kanak untuk hadir kekelas sekaligus dapat melenyapkan masalah kehadiran murid. Selain daripada penggunaan ICT, faktor interaksi persekitaran yang lain seperti guru dan rakan-rakan sekelasnya juga memainkan peranan dalam meningkatkan kemahiran pembelajaran motor kanak-kanak.

 Jika dilihat didalam KBSR guru lebih banyak untuk memberikan contoh kemudian murid-murid melakukan latih tubi seperti yang dilakukan oleh guru, tetapi sedikit kerlainan kaedahnya didalam KSSR dimana kemahiran menaakul diterapkan. Kemahiran menaakul ialah satu kemahiran untuk menggalakkan murid-murid menajana idea secara kreatif dan kritis. Strategi ini membantu murid-murid menyelesaikan masalah secara kritis dan kreatif dengan menggunakan idea-idea yang asli dan unik untuk menyelesaikan masalah tersebut. contohnya, guru meminta seorang murid untuk melakukan aktiviti menendang bola dengan cara yang betul. Manakala murid murid yang lain memerhatikan pergerakkan rakan mereka. Kemudian murid murid yang lain diminta untuk memberi ulasan terhadap pergerakkan yang telah dilakukan oleh rakan kanak-kanak tersebut. Dari situ murid-murid akan melakukan perbincangan untuk memberikan komen, ulasan dan sebagainya.


KESIMPULAN

Selaras dengan peredaran zaman dan seiring dengan kemudahan yang berkembang dengan pesat, penggubalan kurikulum bertujuan untuk menambah-baik pengisian sistem pendidikan Negara.  Penggubalan dan penambahbaikan kurikulum dilakukan dari semasa ke semasa untuk seiring dengan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak pada zaman ini.

Walaupun begitu, setiap yang dihasilkan oleh manusia biasa mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Zaman akan terus berubah , kanak- kanak akan terus perkembang dan perkembang seiring dengan peredaran dan perubahan zaman dan semakin mencabar dari semasa ke semasa. Kurikulum yang dicipta haruslah dapat diadaptasi dengan berkesan dan aplikasinya memberi kesan yang maksima untuk perkembangan menyeluruh individu dan mampu melahirkan modal insan kelas pertama.

Usaha murni kerajaan untuk memperkayakan sistem pendidikan setiap masa sangat penting dalam membantu generasi yang akan memerintah pada masa hadapan. Harapan pada masa kini dan untuk masa hadapan agar usaha murni yang sedang dijalankan ini tidak sia-sia dan mampu membangunkan generasi baru dan melahirkan modal insan yang berkualiti.

No comments:

Post a Comment